KAMPAR 1 Nov. – Tidak sampai seminggu insiden jambatan gantung runtuh yang meragut tiga nyawa berlaku di Kuala Dipang, tiga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) pula mati lemas apabila dibawa arus sungai di Air Terjun Batu Berangkai di sini hari ini.
Pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) terbabit ketika itu sedang berkelah di kawasan rekreasi tersebut sebelum kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang.
Mangsa dipercayai tidak menyedari air sungai ketika itu deras dan naik mendadak berikutan hujan yang berterusan di kawasan terbabit yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Kuala Dipang.
Mereka ialah dua pelajar lelaki dikenali sebagai James Wan Tai Khor dan Yew Ghin Chnieh, kedua-duanya berusia 20 tahun dan seorang pelajar perempuan, Yew Shy Gin, 21.
Mayat seorang pelajar lelaki yang belum diketahui identiti ditemui pukul 10.20 malam ini. Mayat ditemui penduduk kampung yang membantu usaha mencari itu. Mangsa ditemui tersangkut pada celah-celah dahan pokok 300 meter dari tempat kejadian.
Kira-kira pukul 11.10 malam, mayat pelajar perempuan pula ditemui terperangkap di celah batu, tidak jauh dari lokasi mayat pertama dijumpai.
Pada pukul 12 tengah malam pula, mayat ketiga ditemui tidak jauh dari tempat mayat pertama dan kedua dijumpai.
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka yang belum diketahui identitinya tetapi merupakan pelajar tahun dua jurusan perakaunan di universiti itu, terselamat dalam kejadian tersebut.
Seorang saksi di tempat kejadian, Syed Sarudin Syed Shamsuddin, 41, berkata, pelajar terbabit selamat apabila tolakan air deras itu menolaknya ke tebing sungai.
‘‘Apabila hujan turun, saya dan anak-anak yang berkelah di situ terus berlari mencari tempat berteduh tetapi saya lihat mereka masih mandi di sungai.
‘‘Tiba-tiba muncul ‘kepala air’ yang terus menghempas mereka menyebabkan salah seorang daripada mereka tercampak ke tebing,’’ katanya yang datang berkelah di air terjun itu bersama tiga anaknya.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi berkata, air deras yang turun secara tiba-tiba dari puncak air terjun itu terus menghanyutkan tiga daripada empat pelajar tersebut.
Difahamkan katanya, dua daripada mangsa itu berasal dari Pulau Pinang dan pelajar perempuan terbabit dari Sungai Petani, Kedah.
